Ipoh- Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP)  menahan tujuh buah lori berserta muatan dalam satu Operasi Bersepadu (OPS OREN) pada 9 -12 Februari 2021 lalu.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh JPNP, penahanan lori-lori terbabit dipercayai membawa membawa hasil hutan secara haram dari hutan simpanan kekal (HSK), milik kerajaan negeri Perak serta gagal mengemukakan sebarang dokumen (pas pemindah).

Kesemua barang rampasan dipindahkan ke stor barang rampasan jabatan, manakala kesemua pemandu lori berserta kelindan yang ditahan telah dibebaskan dengan bon jaminan polis setelah keterangan mereka diambil.

Suspek didakwa di bawah Seksyen 68 (1), 68 (2) dan Seksyen 40 (1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985. Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 68 (1) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua – duanya.

Kesalahan bawah Seksyen 68 (2) pula dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 40 (1) dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 dan penjara tidak kurang daripada satu tahun tetapi tidak melebihi dua puluh tahun. Walau bagaimanapun, ianya tertakluk kepada siasatan lanjut oleh pihak penyiasat jabatan.

OPS OREN ini turut melibatkan beberapa agensi keselamatan antaranya Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut DiRaja Malaysia, (TLDM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sekatan jalan raya  ini melibatkan lima pentadbiran daerah hutan iaitu Daerah Hutan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Larut dan Matang, Kinta – Manjung dan Perak Selatan.

Keseluruhan sebanyak 50 buah lori pelbagai saiz yang membawa hasil hutan seperti kayu balak, kayu getah, buluh, rotan dan lain – lain telah diperiksa secara rapi oleh pasukan penguatkuasa JPNP.

JPNP memperingatkan orang awam kerja-kerja pemantauan dan rondaan sentiasa dijalankan walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung ini.