CHEMOR, Sektor industri pembuatan dijangka akan pulih 7.0 peratus tahun ini berikutan peningkatan  berterusan perniagaan berorientasikan eksport dan domestik.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Fungsi Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata eksport barangan Malaysia meningkat sebanyak 0.2% hingga RM91.1 bilion, pada tahun 2020. Peningkatan ini dipengaruhi oleh eksport sarung tangan getah sekitar RM2.9 bilion atau 183.8%.

“Sekitar 65 peratus penghasilan sarung tangan perubatan adalah dari Malaysia. Eksport sarung tangan menyumbang 55.1% kepada jumlah eksport Malaysia pada Oktober 2020 berbanding 49.1%  tahun lalu kerana permintaan sarung tangan getah meningkat akibat penyebaran wabak pandemik COVID-19.

“Melihat dari statistik itu, sudah pasti memberi impak positif kepada AT Systematization Bhd (AT) dalam menerajui sektor pembuatan sarung tangan”, katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian AT Systematization Bhd (AT) di Chemor, baru-baru ini.

Sementara itu Pengarah Urusan AT, Choong Lee Aun, berkata pihaknya mengharapkan 2.6 bilion setahun penghasilan produk sarung tangan sehingga pertengahan tahun ini.

“Pihak pengurusan memperuntukkan sekitar RM120 juta untuk membina 13 kemudahan dan bangunan untuk menjalankan operasi menghasilkan sarung tangan.

"Kilang ini dibangunkan secara “future ready” yang dilengkapi dengan ekosistem ‘Industrial 4.0’. Berpandukan  kepakaran kami dalam automasi dan mesin industri, ianyadapat membantu  meningkatkan perniagaan sarung tangan dengan berkesan”, katanya.

Menurut Choong, baru-baru AT telah menandatangani perjanjian dengan LKL Advance Metaltech Sdn Bhd dan KSTAR Healthcare Sdn Bhd untuk pengedaran  sarung tangan perubatan.

"Kami yakin kerjasama strategik ini akan meningkatkan usaha syarikat untuk muncul sebagai pengeluar sarung tangan utama negara. Kami juga akan mengembangkan industri ini untuk membina kilang kedua seluas 18 ekar dengan harga RM10.5 juta pada masa yang terdekat ini," katanya.