IPOH - Seramai 132,691 murid-murid memulakan sesi persekolahan di seluruh Perak hari ini selepas lebih tiga bulan tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Ia melibatkan sebanyak 852 buah sekolah rendah di negeri ini dengan jumlah keseluruhan murid seramai kira-kira 218,600 orang.
 
Pengarah Pendidikan Peraki, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali dalam kenyataan kepada media memberitahu, operasi sekolah-sekolah tersebut juga melibatkan penugasan seramai 14,966 orang guru-guru.
 
“Daripada jumlah tersebut bilangan murid Tahun Tiga seramai 33,839 orang, Tahun Empat (33,584), Tahun Lima (32,360) dan Tahun Enam (32,908),” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
 
Pada minggu lalu, seramai 82,203 murid-murid Tahun Satu dan Tahun Dua memulakan sesi persekolahan di seluruh negeri Perak yang berjalan dalam suasana mengikut norma baharu.
 
Sementara itu, tinjauan Peraktastic di beberapa buah sekolah di bandar ini mendapati murid-murid kelihatan teruja untuk menghadiri sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.
 
Sepanjang tinjauan juga dapat lihat pihak sekolah bersungguh-sungguh mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan dengan mengambil suhu pelajar selain sanitasi meja dan kerusi.
 
Begitu juga ibu bapa yang dilihat mengamalkan jarak sosial selain tidak berada lama di luar pekarangan sekolah apabila terus beredar selepas menghantar anak masing-masing.