KERIAN – Datuk Saarani Mohamad menyifatkan pengisian program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di daerah Kerian selama dua hari mencapai matlamatnya apabila beliau, barisan Exco kedua serta jentera kerajaan negeri berpeluang turun padang bertemu rakyat.

Program yang julung-julung kali diadakan itu melibatkan semua rangkaian pentadbiran bermula daripada Menteri Besar, Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-ketua jabatan, pegawai daerah untuk duduk dan berdepan dengan rakyat yang mengadu masalah.

Saraani dalam hantaran pada laman Facebook beliau memberitahu, kaunter jabatan-jabatan kerajaan yang sering menjadi tumpuan juga dibuka dalam satu bumbung untuk memudahkan urusan rakyat.

Katanya dalam hantaran tersebut, ada antara yang datang memohon bantuan pendidikan, urusan tanah, bantuan baik pulih rumah, bantuan guaman, bantuan pertanian dan yang menyentuh hal-hal kebajikan.

“Ada yang dapat diselesaikan di situ juga, ada yang perlukan sedikit masa untuk diproses atau diteliti agensi berkenaan.

“Walaupun agak rumit kerana dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, namun rata-rata yang datang menghargai komitmen kerajaan negeri.

“Terima kasih kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat. Inilah manisnya bekerja sebagai satu pasukan. Kita jumpa lagi di daerah seterusnya selepas ini. InsyaALLAH,” ujarnya dalam hantaran tersebut.

Semalam adalah hari terakhir program turun padang Mesra di daerah Kerian.

Antaranya, program dimulakan dengan Mengopi Bersama MB di Bagan Serai yang membolehkan Saarani berdialog dengan penduduk mengenai pelbagai isu setempat.

Menteri Besar seterusnya merasmikan Pusat Pengajian Iqra Awesome yang diusahakan anak-anak muda diikuti ke Kampung Nibong Hangus melepaskan ratusan ribu anak ikan lampam dan udang di Sungai Kurau yang menjadi lokasi penduduk setempat khususnya nelayan darat mencari rezeki.

Saarani seterusnya meninjau beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing termasuk di jeti Sungai Pinang yang memerlukan perhatian ekoran keadaannya yang daif serta meninjau tapak cadangan pembinaan bandar baru Selinsing.