SUNGAI SIPUT - Seramai 500 murid-murid sekolah rendah dari 30 buah sekolah di kawasan Lintang dekat sini menerima sumbangan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) tajaan kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang semalam.

Antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Lama Kanan, SK Karai, SK Trosor, SK Lasah, SK RKT Lasah, SK Jawang, SK Periang dan SK Temin.

Tajaan sebanyak RM100,000 dibiayai Yayasan Perak manakala ADUN Lintang menyumbang RM10,000.

Bantuan telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam yang juga ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Hadir sama ialah Pengurus Besar PTPTN negeri Perak, Andi Nurali Mohamed dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, Safuan Rabaai.

Mohd Zolkafly dalam ucapannya berkata, dalam setiap perkara yang dilakukan kerajaan mahupun parti, keperluan serta kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.

Katanya, bantuan yang diberikan itu bertujuan untuk memberi kesedaran dan menggalakkan rakyat supaya membuat simpanan bagi kegunaan anak-anak untuk melanjutkan pengajian.

“Ia juga untuk mendidik masyarakat supaya tidak terlalu bergantung kepada skim pinjaman pengajian tinggi.

“Melalui tabungan SSPN-i juga, ia mengurangkan tanggungan beban hutang pendidikan yang tinggi pada kemudian hari,” katanya.