IPOH - Kisah tular berhubung individu yang mendakwa diberikan hidangan babi ketika menjalani kuarantin di sebuah hotel di sini dianggap selesai. 

Dalam kenyataan terbaru yang dikeluarkan individu terbabit di laman sosial Facebook semalam, dia memaklumkan bahawa Pengurus hotel tersebut telah memohon maaf secara peribadi kepadanya. 
 
Malah, pengurusan hotel itu akan memastikan kejadian sama tidak akan berulang lebih pada masa hadapan demi keselesaan pelanggan.
 
Individu terbabit juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan mengambil berat atas perkara tersebut.
 
Sebelum ini, individu tersebut mendakwa telah memaklumkan kepada pihak hotel bahawa dia adalah seorang yang tidak makan hidangan babi atas faktor keagamaan. 
 
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak yang telah dimaklumkan dengan isu itu sedang menyiasat dakwaan individu tersebut. 
 
Pengarahnya, Khairul Ridzuan Mat Said berkata, pihaknya sudah sedia maklum berhubung perkara tersebut sejak dua hari lalu.
 
"Susulan itu, kita telah menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut," jelasnya. 
 
Secara umum, segala urusan berkaitan makanan, penginapan dan keperluan asas penghuni di pusat kuarantin adalah tanggungjawab di bawah agensi terlibat.