IPOH – Rata-rata penjawat awam di negeri ini menyambut gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya Sistem Saraan Malaysia (SSM) dikaji semula bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.

Ia juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penyampaian sektor awam dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Kerani am, Mohd Amri Ismail, 32, berkata, cadangan tersebut pastinya menggembirakan penjawat awam terutamanya kumpulan sokongan apabila tangga gaji baharu yang dikemukakan nanti bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.

Katanya, ia bukan bermakna penjawat awam tidak bersyukur dengan skim saraan sedia ada tetapi dengan tangga gaji baharu kemampuan untuk membuat tabungan juga meningkat.

“Gaji bukan sahaja bagi menampung sara hidup tetapi juga dapat meningkatkan kemampuan kita menabung atau membuat pelaburan. Ia juga bagi kegunaan pada masa hadapan,” ujarnya.

Pandangan sama diberikan pembantu tadbir, Aliana Ahmad Radzi, 24, yang menyifatkan gesaan CUEPACS itu wajar kerana SSM yang dilaksanakan sejak
November 2002 bagi menambah baik skim saraan tidak pernah dikaji atau ditambah baik.

“Sudah pasti penambaikan skim ini juga untuk bakal penjawat awam pada masa hadapan apabila kerajaan menawarkan imbuhan yang setimpal serta lebih baik.

“Sebab itu kita tidak boleh melihat cadangan tersebut hanya untuk kakitangan awam pada masa ini sahaja kerana sekiranya diluluskan kelak skim baharu ini juga akan digunakan untuk tempoh tertentu,” katanya.

Bagi Muhamad Faid Haris pula, pelaksanaan SSM baharu bakal memberi imej baharu pada perkhidmatan awam apabila menawarkan tangga gaji yang lebih baik di samping kemudahan-kemudahan lain.

Semalam, Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan mengkaji semula skim sedia ada itu

Menurut beliau, kajian semula SSM ini perlu dilakukan dengan kadar segera memandangkan skim tersebut digubal berdasarkan keadaan ekonomi dan sara hidup pada tahun 2002.

Antara perkara yang perlu diberi penekanan dalam SSM baharu ini adalah penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan.