SUNGAI SIPUT – Seorang pemandu kereta jenis Proton Satria dipercayai lemas setelah kenderaan dipandunya terhumban ke dalam sebuah lombong di belakang pasar raya TF pekan Sungai Siput dekat sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, polis turut menemui dompet dan sepasang selipar di tebing lombong tersebut yang berkedalaman kira-kira 15 meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.20 pagi sebelum sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba Sungai Siput dikerah ke tempat kejadian.

Menurut jurucakap tersebut, berdasarkan maklumat daripada polis gerakan mencari dilakukan melibatkan pencarian secara atas permukaan dan selaman.

“Bomba menggerakkan operasi mencari dan menyelamat dengan kekuatan 24 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) serta dibantu anggota polis.

“Sehingga kini belum ada tanda-tanda mangsa ditemui dan gerakan mencari masih giat dijalankan,” katanya.

Operasi diketuai Ketua Balai Bomba Sungai Siput, Mohd Azizi Zakaria.