IPOH- Negeri Perak muncul sebagai negeri kedua tertinggi menerima vaksinasi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menteri Sains, Teknologi & Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri Perak antara yang terbaik dari segi kelancaran pengurusan dan seharusnya menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Saya difahamkan jumlah suntikan yang telah diberi dalam sehari ialah sebanyak 1,400 orang. Ini menunjukkan gerak kerja pengurusan yang lancar dan saya berharap Pengarah Kesihatan Negeri boleh berkongsi pengalaman pengurusan dengan penjabat-pejabat kesihatan yang lain.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk mewujudkan PPV yang lebih besar di bandaraya Ipoh bagi memampung sehingga 5,000 orang penerima vaksin bagi fasa ketiga nanti.

“Seperti mana yang telah disaran oleh Perdana Menteri pemberian vaksin seharusnya dilakukan sepenuhnya sehingga akhir tahun ini. Oleh kerana itu, saya sedang mengatur strategi dan bajet untuk memperbesarkan lagi PPV di setiap negeri”, katanya dalam sidang media selepas lawatan ke PPV di Stadium Indera Mulia, di sini, hari, ini.

Menurutnya seramai 321,331 orang di telah menerima vaksin di seluruh negara dan sejak semalam 5,633,903 orang telah mendaftar untuk menerima vaksin pada fasa seterusnya.

Sepertimana dijadualkan, esok Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan akan menerima suntikan kedua selepas 21 hari menerima suntikan yang pertama.

Khairy juga menyentuh berikutan pendaftran vaksin di negeri Pantai Timur dan Sabah dilihat agak rendah dan beliau mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Alam (NADMA) untuk menjalan 'community engagement' COVID-19, ke semua peringkat.

“Tujuan ini adalah untuk mengalakkan pendaftaran terutamanya bagi negeri-negeri yang masih kurang pendaftaran. Mungkin juga disebabkan maklumat yang tidak tepat disebar luas dalam media sosial.

“Saya akan berjumpa dengan ahli-ahli Parlimen minggu depan untuk meminta sokongan mereka bagi menggalakkan pendaftaran terutamanya di Terengganu, Kelantan dan sebagainya,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan kerja itu, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming.