IPOH - Laluan lorong kecemasan dan kiri antara Bidor menuju ke Sungkai, Perak ditutup 10 hari bermula semalam bagi kerja penyelenggaraan jalan.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja penyelenggaraan itu sebagai meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Penutupan ini secara tidak langsung dapat mengelakkan perkara yang tidak dapat dijangka ketika proses penyelenggaraan jalan tersebut antaranya membabitkan kemalangan serta bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan merancang perjalanan terlebih dahulu dengan menggunakan Aplikasi PLUS melalui paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang dsediakan bagi tujuan mendapatkan maklumat trafik semasa bagi laluan tersebut.

Kata kenyataan itu, pengguna juga boleh meminta bantuan PLUSronda dengan menekan butang SOS pada aplikasi tersebut.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mematuhi papan tanda trafik dan arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui di kawasan itu.