IPOH - Kerajaan negeri Perak berhasrat untuk meneruskan program Tuisyen Cikgu Saarani berikutan kejayaan program itu membantu pelajar semasa persediaan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.

Program itu merangkumi lima inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen dan kelas tambahan, bantuan khas makanan, program latih tubi, seminar dan penyediaan bahan pengajaran interaktif.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan program bantuan makanan Tuisyen Cikgu Saarani misalnya berjaya meningkatkan kehadiran pelajar ke kelas tambahan sehingga lebih 95 peratus.

Katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan.

"Kita sediakan makanan tengah hari bernilai RM5 secara harian selama tempoh 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan.

"Disebabkan ada makanan maka murid-murid dapat berada terus di sekolah berbanding sebelumnya apabila mereka pula ke rumah dan tidak hadir kelas tambahan.

"Turut kita sediakan makanan ialah kepada guru-gurunya juga. Perkara ini nampak remeh tetapi kesannya kepada kejayaan untuk mendidik itu sangat besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa hadir pada program penyampaian bantuan persekolahan Ceria Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Terdahulu, pada program tersebut, Mahdzir telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM380,000 kepada Saarani bagi bantuan pendidikan kepada 3,800 pelajar terpilih daripada keluarga berpendapatan rendah.

Saarani berkata, beliau sangat mengalu-alukan sekiranya pihak TNB sudi untuk memberikan sedikit sumbangan bagi menjayakan program tersebut pada masa hadapan.

Ini kerana katanya, keutamaan kerajaan negeri Perak adalah untuk menjadikan pendidikan sebagai saluran kepada pelajar-pelajar golongan berpendapatan rendah untuk memiliki sekurang-kurangnya sijil agar bebas daripada belenggu kemiskinan.

Sementara itu, Mahdzir memberitahu kesediaan pihak TNB untuk membiayai sebahagian daripada program Tuisyen Cikgu Saarani demi matlamat untuk memastikan kejayaan para pelajar.