IPOH – Warga polis negeri ini diingatkan agar berpegang kepada amanat Ketua Polis Negara yang bertegas mahu pasukan itu menjadi insititusi peneraju keselamatan negara yang unggul.

Ketua Polis negeri, Datuk Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid berkata, warga Sang Saka Biru perlu mempasakkan tekad serta membulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik demi agama, bangsa dan negara tercinta.

“Kita juga hendaklah sentiasa berpegang kepada sumpah taat setia dan janji yang diberikan untuk mempertahankan kedaulatan negara, menjaga kesejahteraan masyarakat dan memelihara integriti pasukan.

“Semoga setiap pengorbanan yang kita curahkan dengan penuh rasa kecintaan, kesungguhan dan keikhlasan pada jalan jihad ini akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada yang maha Esa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap membacakan Perintah Pasukan Khas Perutusan Ketua Polis Negara sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 tahun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Pahlawan Mazlan Santarai dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis negeri (Perkep), Datin Nor Qhadhijah Abdul Wahab.

Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Veteran Vat 69 Komando, Datuk Abdul Rashid Harun yang juga bekas Pesuruhjaya Polis Sabah.

Terdahulu, Mior Faridalathrash mengambil tabik hormat perbarisan seramai dua pegawai dan 51 anggota Unit 5 Pasukan Simpanan Persekutuan, Ipoh diketuai Asisten Superintendan Mohd. Dahlan Abdullah.

Pada majlis itu juga, seramai 32 pegawai, anggota dan petugas awam pelbagai jabatan dan cawangan menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara dan Anugerah Integriti PDRM di atas kecemerlangan tugas masing-masing.

Antaranya ialah sembilan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping yang menerima Surat Penghargaan Ketua Polis Negara kerana integriti menolak pemberian wang rasuah daripada orang awam semasa operasi.