IPOH – Warga negeri ini bukan berketurunan Bumiputera yang layak kini boleh mengisi kekosongan jawatan konstabel dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa perlu mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Iklan bagi perjawatan tersebut telah pun dibuka bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac ini perlu dibuat secara dalam talian menerusi laman web e-Pengambilan PDRM.

Kelonggaran syarat tersebut sebagai galakkan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera menyertai PDRM kerana pasukan ini memerlukan khidmat mereka.

Bagaimana pun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan itu nanti perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus dengan kepujian.

Sekiranya masih gagal dalam tempoh enam tahun, khidmat mereka akan ditamatkan.

Sebelum ini, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia, Datuk Ramli Din dilaporkan berkata, individu bukan Bumiputera yang pernah memohon sebelum ini boleh membuat permohonan baharu.

"Keutamaan diberi kepada pemohon bukan Bumiputera yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Cina, Tamil dan bahasa ibunda lain," katanya.

Ramli berkata, pemohon akan dipanggil ke sesi temu duga yang akan diadakan di bandar besar di seluruh negara.

PDRM juga, katanya, akan mengadakan pengambilan khas bagi Orang Asli bagi jawatan inspektor Gred YA13, konstabel YA1, konstabel Orang Asli Gred YP1 dan konstabel Gred YT1.