IPOH – Kerajaan negeri Perak masih membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri untuk beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan meskipun terdapat negeri yang telah membatalkannya akibat peningkatan kes Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kes Covid-19 di Perak masih dalam keadaan terkawal dan setakat ini, tiada keperluan untuk membatalkan operasi bazar Ramadan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri akan menyerahkan keputusan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kerajaan Pusat sekiranya diarahkan untuk menutup operasi bazar Ramadan jika perlu.

"Kita akan lihat dari semasa ke semasa sama ada tuntutan (bazar) mengikut keperluan dari segi kesihatan atau dari segi kekangan (jangkitan) Covid-19.

"Setakat ini, kita (kerajaan negeri) tidak mendapat arahan membatalkan mana-mana bazar Ramadan di seluruh Perak. Jadi, kita akan teruskan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas diminta mengulas sama ada Perak akan mengikuti jejak langkah Kelantan yang membuat keputusan untuk membatalkan bazar Ramadan untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negeri Kelantan dibatalkan susulan peningkatan berterusan kes jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud memaklumkan sempena Ramadan ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan 1,040 tapak niaga bazar Ramadan di 28 lokasi sekitar Ipoh.

Katanya, kesemua lot tersebut telah penuh dan tiada pengurangan bilangan tapak gerai daripada kapasiti yang sedia diperuntukkan MBI.

Terdahulu, Nolee Ashilin dan Rumaizi hadir pada majlis pelancaran laman web Ipohpedia di Hotel Weil, di sini, hari ini.