IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan terus menjalankan pemantauan dan kawalan ke atas setiap pengunjung di setiap bazar Ramadan sekitar bandaraya ini supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, jika dilihat secara kasar, kira-kira 70 peratus daripada pengunjung mengikuti SOP seperti mana yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  Beliau berkata, lebih kurang 30 peratus lagi pemantauan dan kawalan perlu dipertingkatkan di bazar-bazar Ramadan ini bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.
 
"Hari ini pun saya minta pemantauan dan kawalan dari segi pematuhan SOP. 
 
"Tetapi bagi saya, kalau nak diikutkan semalam, yang pastinya pengunjung patuh mengikut SOP ditetapkan. 
 
"Bagaimanapun, cuma sudut yang saya nampak itu (tidak patuh) ketika beratur (tiada penjarakkan sosial), tetapi dari sudut awalnya ada (pengunjung) mengambil suhu," katanya. 
 
Sehubungan itu, Rumaizi akan memastikan pihaknya terus mempertingkatkan kawalan dan pemantauan dari semasa ke semasa di bazar-bazar Ramadan sekitar Ipoh terhadap baki 30 peratus tersebut. 
 
Terdahulu, beliau hadir bagi merasmikan Majlis Kolaborasi Kolej Antarabangsa TAJ (TIC) Bersama Rakan Agensi Kerajaan dan Swasta untuk Pelaksanaan Smart Education, di sini, hari ini.
 
Hadir sama, Pengasas TIC, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin.