IPOH –  Sepasukan anggota 2 Woksyop Briged di sini telah mencetuskan inovasi apabila menghasilkan sebuah alat khas untuk mengetuk kelongsong peluru serta mengira bagi menggantikan tenaga kerja manusia selain cepat dan mudah dikendalikan.

Ini kerana setiap kali menjalani latihan menembak di lapang sasar, kelongsong peluru yang dikumpul perlu diketuk dan dijumlahkan sebelum dipulangkan untuk tujuan pelupusan.

Ketua projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2 Woksyop Briged, Leftenan Muda (PKW) Mohd Azman Mastofa berkata, alat tersebut yang diberi nama Mr Hammer berfungsi untuk mengetuk peluru dan mengira kuantiti kelongsong yang telah diketuk.

Menurut beliau, penggunaan alat ini akan meningkatkan hasil kerja dengan mengutamakan penjimatan tenaga dan masa anggota tentera di lapangan sekali gus memberi faedah kepada aspek-aspek seperti prosedur kerja yang membantu meningkatkan kecekapan.

Komponen utama alat yang berfungsi secara mekanikal dan elektrikal ini ialah bahagian pengetuk kelongsong peluru, alat pembilang dan sistem pengesan (sensor). Bahan-bahan lain adalah komponen kenderaan dan plat-plat besi yang terpakai.

”Alat ini boleh dikendalikan hanya seorang anggota untuk mengetuk dan mengira 15,000 kelongsong peluru dalam masa dua jam lima minit manakala jumlah yang sama memerlukan enam anggota jika dilakukan secara biasa yang mengambil masa kira-kira empat jam,” ujarnya.

Alat ini yang berharga kira-kira RM2,200 juga telah diuji oleh beberapa pasukan di bawah naungan 2 Briged.

Kos senggaraan alat ini juga mudah kerana pembinaannya ringkas selain mudah dikesan kerosakan untuk dibaiki kerana alat tersebut senang dibuka dan dileraikan untuk diperiksa.

Sementara itu, Pegawai Memerintah 2 Woksyop Briged, Mejar Azrul Arifin memberitahu, projek inovasi seperti Mr Hammer ini dapat mempercepatkan proses mengetuk peluru yang mana secara langsung memberi impak yang progesif khususnya kepada pasukan-pasukan dalam Tentera Darat yang sering mengadakan latihan menembak.

Katanya, alat itu juga boleh diperkenalkan dengan lebih meluas dalam Angkatan Tentera Malaysia bagi mewujudkan keseragaman kerja-kerja mengetuk peluru.

“Pada jangka masa panjang pula, alat ini boleh diperluaskan untuk agensi-agensi keselamatan lain yang sering mengadakan latihan membabitkan pengunaan peluru.

“Justeru itu, bagi tujuan pengkomersialan Mr Hammer boleh didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai hak cipta terpelihara pasukan ini,” ujarnya.