GERIK – Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad telah mengadakan tinjauan bagi melihat lebih dekat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu di sini semalam.

Sebaik tiba, beliau serta beberapa Exco kerajaan negeri diberikan taklimat dan laporan di Pejabat Daerah Pengkalan Hulu disusuli operasi di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Menteri Besar menerusi laman Facebooknya memaklumkan, berdasarkan penilaian risiko daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beberapa keputusan telah dibuat termasuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP di kawasan ini.

Antaranya, memastikan tiada aktiviti rentas daerah tanpa urusan penting, memendekkan waktu perniagaan bagi mengelak orang ramai berada di luar terlalu lama serta meningkatkan penguatkuasaan untuk memastikan penjarakan fizikal.

“Saya faham ramai yang hendak bersedekah dengan menghantar pulut, lemang dan sebagainya untuk pelajar tetapi minta maaf kerana semua makanan yang ingin dibawa masuk perlu dihantar ke PKOB terlebih dahulu.

“Pembekal makanan bermasak yang dilantik oleh MARA bertanggungjawab menentukan makanan berzat dan selamat untuk kesemua pelajar dan guru yang terlibat mengikut SOP yang ditetapkan,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebook tersebut.

Jelas Saarani lagi, langkah ini tiada niat lain selain untuk pastikan kesihatan dan keselamatan pelajar di MRSM berkenaan.

Beliau berharap masyarakat setempat yang menghadapi suasana getir ini supaya bertenang dan patuhi SOP yang ditetapkan sebagai langkah untuk memutuskan rangkaian jangkitan.

“Mudah-mudahan keadaan di kawasan terlibat akan kembali pulih dan pelajar serta penduduk dapat menjalani urusan harian seperti sediakala. InshaALLAH,” ujar Saarani.