IPOH – Pas negeri Perak telah mengutip sebanyak RM714,168 menerusi tabung sumbangan bagi membantu rakyat Palestin yang berhadapan dengan kekejaman Israel.

Pesuruhjaya Pas negeri Perak, Razman Zakaria berkata, tabung tersebut dilancarkan baru-baru ini atas kesedaran dan kecaknaan terhadap isu yang menimpa rakyat Palestin.


Beliau berkata, pihaknya ingin menzahirkan jutaan terima kasih dan sepenuh penghargaan atas sumbangan yang diterima daripada seluruh 24 Pas Kawasan serta kesemua penderma yang sudi menginfakkan wang ringgit dalam usaha murni ini.

“Alhamdulillah, atas keizinan dan kebesaran Allah, Pas Perak telah berjaya mengutip sumbangan wang tunai sebanyak RM714,168 yang merupakan satu jumlah besar dalam usaha membantu penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.

“Semoga segala wang ringgit dan harta yang diinfakkan buat saudara kita di Palestin dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha membina semula kediaman mereka yang telah hancur, menyalurkan bantuan makanan dan lain-lain keperluan buat kegunaan mereka di sana,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelas Razman lagi, keprihatinan menerusi sumbangan ini juga akan menjadi bukti terhadap usaha yang telah diakukan khususnya oleh umat Islam dalam membantu mereka yang memerlukan dengan penuh kasih sayang dan juga sifat belas kasihan.

Serangan Israel terhadap penduduk awam Palestin di Gaza sejak 10 Mei lalu mengakibatkan 231 orang terkorban termasuklah 63 kanak-kanak, 36 wanita dan 16 warga emas manakala 1,530 orang cedera.