IPOH- Kerajaan Negeri Perak memperuntukan sebanyak RM2.38 juta untuk membantu rakyat khususnya golongan miskin dan B40 yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata sejumlah RM1.2 juta akan disalurkan kepada empat Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang terbabit dalam pelaksanaan PKPD, merangkumi masing-masing RM400,000 untuk PDT Kinta dan PDT Larut Matang dan Selama manakala RM200,000 untuk PDT Hulu Perak dan PDT Muallim.

 "Sejumlah RM1.18 juta pula melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada kesemua 59 pejabat pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak bagi memudahkan setiap wakil rakyat negeri ini menjalankan pengurusan menangani Covid-19 di kawasan masing-masing.

"Kita mahukan semua PDT serta agensi berkenaaan membuat pemantauan bagi memastikan golongan rakyat yang terjejas dapat dibantu segera.

"Bantuan kotak makanan kepada golongan miskin dan B-40 yang terkesan terutamanya mereka yang terputus mata pencarian atau terjejas pendapatan ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKPD akan diutamakan," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan kesemua Adun Perak secara maya hari ini.

Menurutnya nilai barangan setiap kotak makanan, senarai penerima, kaedah penyaluran adalah terpulang kepada kesesuaian dan budi bicara PDT di daerah yang berkenaan.

"Sekiranya terdapat lebihan peruntukan, PDT terbabit boleh menggunakan peruntukan tersebut bagi keperluan lain berkaitan pengurusan Covid-19 termasuk membeli ubat-ubatan," ujarnya.