IPOH – Keprihatinan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berhubung keperluan rakyat pada masa sukar disebabkan pandemik Covid-19 ketika ini terserlah apabila beliau bersetuju untuk menyumbangkan gaji selama tiga bulan kepada Tabung Bencana Covid-19.

Mencontohi langkah serupa ialah 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak sebagai tanda sokongan pihak kerajaan negeri kepada usaha untuk memerangi Covid-19 di negara ini.

"Alhamdulillah, hasil keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, saya bersama 10 Exco bersetuju untuk sumbangkan sebulan gaji masing-masing selama tiga bulan.

"Potongan gaji ini untuk kita sumbangkan kepada tabung bencana Covid-19," katanya kepada pemberita pada sidang media secara atas talian hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 3 bulan gaji menteri dan timbalan menteri yang dipotong akan disalurkan ke Akaun Amanah Bencana.

“Barisan menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama 3 bulan mulai Jun,” ujar Perdana Menteri.

Sementara itu, pada sesi yang sama, Saarani juga turut mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera bernilai RM19.5 juta yang baru diluluskan bersama barisan Exco.

Menurutnya, ia ekoran impak pandemik Covid-19 termasuk penutupan sektor sosial dan ekonomi selama dua minggu sehingga 14 Jun ini.

"Fokus utama PRE ini ialah untuk menjamin kelangsungan hidup rakyat yang terjejas termasuk keluarga miskin iaitu kalangan B40, gelandangan, penjaja dan peniaga kecil, belia, petani dan mereka yang bekerja dalam sektor pelancongan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada lapan lagi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi bantuan makanan kepada golongan yang terjejas,” katanya.

Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi daerah PDT Manjung dan masing-masing RM200,000 untuk PDT Kerian, Batang Padang, Hilir Perak, Selama, Perak Tengah, Kuala Kangsar dan Kampar manakala RM200,000 lagi adalah peruntukan tambahan kepada PDT Hulu Perak.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan penyaluran bantuan sebanyak RM1.2 juta kepada empat PDT yang terlibat dalam pelaksanaan PKPD iaitu Kinta, Hulu Perak, Larut Matang dan Selama serta Mualim.