IPOH – Kerajaan negeri mengambil langkah segera untuk melaksanakan lima inisiaitif dalam usaha mengendurkan peningkatan kes positif Covid-19 yang mencatatkan lebih 8,000 kes positif sehari di seluruh negara ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, inisiatif tersebut memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Menurutnya, langkah yang diambil itu adalah demi meningkatkan kesiapsiagaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

“Kerajaan negeri menetapkan sasaran 15,000 suntikan harian mulai bulan ini berbanding purata 8,000 suntikan harian pada Mei.

“Jika ini boleh dilakukan, fasa kedua program imunisasi dapat diselesaikan segera bagi membolehkan fasa ketiga dimulakan,” ujarnya menerusi sidang media secara atas talian hari ini.

Lima inisiatif tersebut termasuk program saringan Covid-19 secara bersasar, vaksinasi pandu lalu, program outreach vaksinasi Covid-19, penyediaan pengangkutan penerima vaksin dan pembelian vaksin oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Jelas Saarani, sasaran itu dijangka meningkat bermula Julai hingga September berikutan Kerajaan Persekutuan menjangkakan kemasukan 12 juta vaksin Sinovac pada Julai dan 25 juta vaksin Pfizer.