IPOH - Petugas media adalah antara petugas barisan hadapan (frontliners) yang perlu diberi perhatian serius memandangkan tugas di lapangan yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka sangat terdedah kepada risiko yang tinggi terutamanya ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak tahun lalu. 

Justeru, Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) menggesa kerajaan supaya menyegerakan pemberian vaksin kepada pengamal media di Perak serta beberapa negeri lain agar mereka dapat bertugas dengan lebih yakin dan selamat.
 
Pengerusinya, Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, sehingga hari ini, bukan sahaja di Perak malahan pengamal media di beberapa negeri lain masih belum menerima temujanji vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera. 
 
Katanya, sepanjang tempoh negara berdepan dengan pandemik berkenaan, sebahagian pengamal media di Perak telah beberapa kali melalui tempoh kuarantin diri dan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
 
"Pada 3 Mei lalu, seramai 22 petugas media daripada pelbagai agensi di negeri ini menjalani kuarantin setelah dikesan menjadi kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif Covid-19.
 
"Sehubungan itu, PPMP merayu pertimbangan daripada kerajaan supaya pemberian dos vaksin ini dipercepatkan supaya pengamal media dapat terus berkhidmat, berbakti dan membawa agenda kerajaan bagi mencapai imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
 
Semalam media melaporkan, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, petugas media yang berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan mulai Rabu (esok).