IPOH - Orang ramai kini boleh makan di dalam kedai dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan keputusan kerajaan negeri menarik balik larangan tersebut berkuatkuasa serta merta.

Bagaimana pun perkara itu terpulang kepada pemilik premis sama ada membenarkan atau tidak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kebenaran itu juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Saya ingin maklumkan, kita dah boleh benarkan para pengusaha premis makanan untuk beroperasi secara makan di dalam premis.

“Tetapi, keputusan sama ada untuk boleh atau tidak terpulang sepenuhnya kepada para pengusaha," ujarnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak Fasa Kedua.

Dalam pada itu katanya, SOP yang harus dipatuhi termasuk mengamalkan jarak sosial, menghadkan bilangan pelanggan serta merekod maklumat pelanggan sebelum masuk ke premis.

Selain itu ujar beliau, kerajaan negeri turut mengumumkan pembukaan semua taman-taman rekreasi awam yang ditutup sebelum ini berkuatkuasa serta merta.

Ia juga tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.