IPOH - Bangunan baru Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang bakal menjadi mercu tanda bidang perubatan di Perak, dijangka akan beroperasi sepenuhnya Julai ini.

Timbalan Pengarah Perubatan II, DR Megat Iskandar Megat Abdul Hamid berkata, kompleks itu menyediakan perkhidmatan rawatan bersalin, perbidanan, kardiologi serta sakit puan dan mula beroperasi secara berperingkat sejak Disember tahun lalu. 

“Sekiranya perancangan pembukaan ini berjalan lancar, kita akan menyediakan kemudahan lain seperti edogram, pediatrik dan stenting (jantung).

“Bangunan sepuluh tingkat ini menempatkan 404 katil pesakit, enam bilik bedah pembedahan am dan 18 bilik bersalin.

"Lebih 300 petak parkir percuma turut disediakan di tingkat dua dan tiga.

"Diharap dengan adanya kemudahan parkir ini mampu melegakan sedikit rungutan orang ramai terhadap masalah parkir yang berlarutan sejak sekian lama", katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Megat Iskandar turut menerima sumbangan 1,000 peralatan perlindungan diri (PPE), 1,000 penutup kasut dan 5,000 pitup muka daripada Ketua Eksekutif Hospital KPJ Ipoh, Yusma Salleh. 

Menurut Yusma, sumbangan tersebut adalah aktiviti Tanggungjawab Sosial Korperat (CSR) KPJ Ipoh bagi menghargai pengorbanan barisan hadapan HRPB dalam menangani pandemik Covid-19.

“Ini adalah CSR pertama KPJ Ipoh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita telah menyumbangkan peralatan saringan, bekalan perubatan dan bungkusan makanan sempena bulan Ramadan lepas. Kos keseluruhan yang diperuntukan ialah RM120,000," ujarnya