PASIR SALAK -  Keperluan penduduk empat buah kampung di daerah Perak Tengah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sentiasa diambil  berat apabila menerima agihan barang basah dan barang keperluan harian lain.

Empat lokaliti berkenaan adalah Kampung Biak Hilir di Mukim Bandar serta Kampung Biak Darat, Kampung Biak Daroh dan sebahagian Kampung Pasir Salak di Mukim Pasir Salak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, bekalan tersebut akan diagihkan setiap dua hari sekali atau tujuh kali sepanjang 14 hari tempoh PKPD dilaksanakan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri berkata, ia akan memberi manfaat kepada 104 keluarga membabitkan 398 orang di perkampungan terlibat.

“Pengagihan barangan makanan basah pada hari pertama membabitkan 104 bungkusan makanan dan begitulah seterusnya dua hari sekali.

“Antara yang diagihkan ialah ayam segar, sayur-sayuran, mi kuning, bebola ikan dan barang-barang lain dengan setiap bungkusan bernilai kira-kira RM50,” katanya semasa menyerahkan bantuan berkenaan di Pejabat Penghulu Mukim Pasir Salak kelmarin.

Agihan ini juga merupakan inisiatif Pusat Khidmat ADUN Kampung Gajah bagi meringankan beban penduduk.

Empat lokaliti tersebut dalam daerah Perak Tengah dikenakan PKPD bermula 31 Julai sehingga 13 Ogos depan.