Ipoh- Sebanyak 300 bakul makanan bakal diagihkan kepada peniaga-peniaga Memory Lane bagi meringankan bebanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata menerusi Program MBI Prihatin usaha membantu seluruh warga kota yang terkesan dapat dilaksanakan.
"Terima kasih kepada M/S Fuze Development ZK Sdn Bhd yang telah menaja bakul makanan bernilai RM40.00 setiap satu. Saya berharap kerjasama ini akan berterusan supaya tiada masyarakat yang terpinggir dari kemelut kesusahan.
“Pihak kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dari pelbagai syarikat untuk turut menyertai Program MBI Prihatin bagi memastikan kesejahteraan wargakota yang kini berdepan dengan pelbagai masalah ekonomi,” katanya pada media selepas menyampaikan sumbangan kepada tiga wakil peniaga Memory Lane, di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.
Program MBI Prihatin telah dilancarkan sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac 2020. Setakat 4 Ogos 2021, lebih RM750.00 ribu telah dibelanjakan bagi meringankan beban penduduk, peniaga dan warga MBI sendiri.
Program ini telah disertai oleh rakan strategik MBI iaitu Econsave, Kuala Lumpur Kepong (KLK) Berhad, Daboba Berhad dan Bonanza Ventures Holding Sdn Bhd (BVH).
Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata Jawatankuasa Kebajikan Kemiskinan Bandar MBI turut menyumbangkan 10 buah almari dan sebuah mesin basuh kepada Rumah Teduhan Kelana iaitu rumah kebajikan yang terletak di Jalan Dato Onn Jaafar, Ipoh.
“Rumah kebajikan ini menempatkan seramai 220 orang gelandangan lelaki sejak beroperasi pada tahun 2017 berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak.
“Saya berharap sumbangan ini akan memudahkan pengurusan seharian warga gelandangan memandangankan penghuninya yang bertambah dari masa kesemasa," ujarnya.