IPOH - Hospital Pakar Ipoh (KPJ) meraikan 150 orang pesakit dan 250 orang kakitangan bertugas pada 1 Syawal yang lalu.

Ketua Pengarah Eksekutif KPJ Ipoh, Yusmah Salleh berkata walaupun rakyat sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menangani wabak pandemik Covid-19, KPJ sentiasa prihatin terhadap pesakit dan kakitangan yang bertugas.

"Sempena hari raya ini kami tidak mengabaikan pesakit-pesakit yang sedang menjalani rawatan di wad. Kita mahu kemeriahan dan suasana hari raya dihayati bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kita menyediakan juadah tradisi hari raya iaitu lemang dan rendang untuk diedarkan kepada pesakit dan kakitangan bertugas.

"Semasa pengedaran itu kami sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi seperti memakai penutup muka, cecair pembasmi kuman, melakukan saringan kesihatan dan sentiasa melakukan pembersihan berskala", katanya.

Turut diraikan juga dua keluarga yang menyambut kelahiran bayi masing-masing pada hari raya pertama.

Sementara itu, Yusmah menegaskan, pihak pengurusan KPJ Ipoh sentiasa berwaspada dalam menerima pesakit yang mengalami gejala dan mempunyai kontak rapat.

Antara langkah-langkah yang dilakukan ialah pemeriksaan di dua pintu masuk utama hospital, pembersihan kawasan awam dan kemudahan umum secara berkala mengikuti garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kami sangat mengutamakan kesejahteraan pesakit, pelawat dan kakitangan. Mereka adalah tanggungjawab dan keutamaan utama kami", katanya.