IPOH - Hasil jualan kuih-muih yang tidak seberapa menyebabkan seorang peniaga kerap buntu memikirkan soal perbelanjaan harian keluarga selain sewa rumah yang tertunggak.
Dengan pendapatan kira-kira RM300 sebulan, ia masih tidak dapat menampung keperluan Nazri Ramli bersama isteri serta tiga anak yang sedang membesar.
Mujurlah keluhan peniaga kecil ini mendapat perhatian apabila menerima bantuan kewangan kecemasan Zakat Perak- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk).
Nazri yang menetap di Taman Cempaka di sini sebelumnya bekerja sebagai agen pembantu rumah tetapi hilang pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.
Dia dibantu isteri kemudian mula menjual kuih muih untuk jualan kecil-kecilan bagi menyara keluarga.
Katanya, bagaimana pun, pendapatan itu masih belum mencukupi walaupun dia sekeluarga berjimat cermat.
"Masalah timbul apabila sewa rumah tertunggak menyebabkan saya sayu memikirkan masa depan anak-anak.
"Setiap hari saya meninjau-ninjau peluang pekerjaan atau perniagaan yang berpotensi, namun tiada yang memberangsangkan," katanya.
Zakat Perak-MAIPk hadir menghulurkan bantuan kecemasan sebanyak RM500 untuk djagihkan membayar sewa rumah dan sedikit perbelanjaan barangan dapur.
Sementara itu, jurucakap Zakat Perak MAIPk berkata, pihaknya turut menyerahkan borang permohonan bantuan sewa rumah untuk dilengkapkan oleh Nazri.
"Kami berusaha membayar sewa rumahnya. Bagi meringankan beban pendapatan dan melancarkan perniagaannya.
"Kami mengharapkan beliau gigih dan segera bangkit. Semoga suatu hari nanti Nazri datang semula ke Zakat Perak-MAIPk sebagai pembayar zakat," ujar jurucakap tersebut.