IPOH – Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11 (Bercham) Ho Wai Mun mengambil inisiatif membantu 100 penjaja dan peniaga kecil untuk membuat permohonan Bantuan One-Off Penjaja, Peniaga Kecil dan Pasar Awam secara dalam talian di Pasar Awam Bercham hari ini.

Beliau turut dibantu Pegerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 11 (Bercham), Cheng Ming Tat dan beberapa ahli jawatankuasa yang lain.

Menurutnya, bantuan itu amat bernilai kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas sumber pendapatan akibat pandemik wabak Covid-19.

“Penjaja dan peniaga kecil yang membuat permohonan bantuan itu amat gembira dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kami membantu mereka pada hari ini,” jelasnya.

Wai Mun dan ahli jawatankuasa JPP mula membantu mereka sejak jam 8.30 pagi dan berakhir kira-kira tiga jam kemudian.

Sebelum ini, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud mengumumkan semua penjaja dan peniaga kecil yang berlesen dengan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Perak termasuk MBI boleh memohon bantuan tersebut.

Setiap pemegang lesen akan diberikan bantuan secara one-off berjumlah RM300 jika permohonan tersebut diluluskan.

Pemberian bantuan khas ini bertujuan untuk meringankan beban penjaja dan peniaga kecil dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.