IPOH – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antara yang paling aktif menghulurkan bantuan barang keperluan dan pek makanan kepada rakyat terjejas sepanjang wabak Covid-19 melanda negara ini sejak setahun lalu.

Hari ini, Pasar Raya Econsave melalui program Econsave Prihatin dengan kerjasama NGO Kongsi Rezeki dan Lions Club of Perak Silver State menyampaikan bantuan makanan kepada kira-kira 200 penduduk Flat Panorama Lapangan Perdana, di sini.

Bantuan makanan yang disampaikan bukan sahaja untuk penduduk tempatan tetapi juga warga Indonesia yang turut terkesan terutamanya mereka yang hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus Econsave Cawangan Ampang, Mohd Firdaus Ahmad Ghazali berkata, setakat ini kira-kira 1,500 keluarga dibantu di Perak melalui program Econsave Prihatin yang dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

“Sumbangan yang kita sampaikan ini tidak mengenal keturunan atau bangsa tetapi kita beri pada penduduk yang betul-betul terjejas,” ujarnya yang memberitahu program Econsave Prihatin sedang giat berlangsung di seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, Pengurus The Bojen Car Wash and Spa yang mewakili NGO Team Kongsi Rezeki, Mohd Salorwadi Mohd Nor berkata, pihaknya akan sentiasa turun padang untuk membantu rakyat yang susah terutamanya di saat PKP.

“Team Kongsi Rezeki akan terus prihatin dalam menghulurkan bantuan seikhlas hati kepada semua orang yang memerlukan tanpa mengira latar belakang di atas dasar kemanusiaan,” katanya yang memaklumkan pihaknya menyumbang 300 kilogram (kg) ikan cencaru dan lima guni jagung (80 kg setiap satu) pada program tersebut.

Presiden Lions Club of Perak Silver State, Dr Richard Ng pula berkata, dalam situasi pandemik, semua orang berhadapan dengan kesukaran termasuk warga Indonesia yang bekerja di sini.

“Mereka (warga Indonesia) juga adalah penyumbang kemajuan negara dan dalam keadaan ini ada yang terputus bekalan dan mereka tidak ada tempat nak meminta bantuan. Jadi kolaborasi pada hari ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka,” jelasnya.

Sementara itu,Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria mengucapkan syabas dan tahniah di atas inisiatif Persatuan Penduduk Flat Panorama Lapangan Perdana yang berjaya menggabungkan beberapa NGO dan badan korporat seperti Econsave bagi membantu mereka yang terkesan di saat pandemik Covid-19.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak pernah putus menyalurkan bantuan dari semasa ke semasa kepada golongan yang memerlukan.

“Mereka yang terkesan boleh terus berhubung kepada Ketua Pusat Komuniti atau dengan agensi kerajaan. InshaALLAH kita ada daripada Yayasan Perak ataupun pihak lain ada menyediakan bantuan.

“Selain itu, semua pihak berkaitan seharusnya bertanggungjawab untuk membantu mereka yang berada di dalam kesusahan terutamanya di saat pandemik ini.

"NGO mungkin mereka ada kelebihan. Kadang-kadang (kerajaan) tak dapat salur bantuan dan NGO akan untuk bantu sampaikan kepada penerima selayaknya,” katanya pada sidang media selepas program tersebut pada hari ini.

Program ini turut dihadiri Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono; Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Panaroma Lapangan Perdana, Ashraf Ali Yusoff.