
IPOH - Masalah banjir kilat yang sering menghantui penduduk di Jalan Delima 2, Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Batu 5 Tambun dapat diatasi selepas kerja menaik taraf longkang itu dijangka siap menjelang September ini.
Projek menaik taraf longkang sepanjang 100 meter dengan kos kira-kira RM200,000 dilaksanakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bermula Jun lalu.
Seorang penduduk, Abdul Rashid Abdul Talib, 37, berkata longkang lama sedalam satu kaki (0.3048 meter) tidak mampu menampung air ketika hujan lebat.
"Bila hujan lebat, air akan melimpah ke longkang sebelah dan menyebabkan jalan di hadapan rumah banjir. Selain itu, air juga akan masuk ke laman rumah sehingga ke muka pintu," katanya.
Menurutnya, kadang-kadang dia terpaksa membantu kenderaan yang tersangkut di dalam air akibat banjir kilat itu.
"Saya berharap masalah itu tidak akan berulang lagi apabila longkang baru ini siap sepenuhnya," ujarnya.
Selain itu, dia turut memohon agar sebuah bonggol dibina bagi memperlahankan kenderaan yang melalui jalan berkenaan.
"Jalan ini menjadi laluan utama ketika waktu pagi dan mereka sering memecut kenderaan kerana mengejar lampu isyarat. Ini amat membahayakan.
"Jadi, saya berharap cadangan untuk membina bonggol ini dapat dipertimbangkan MBI," kata penjawat awam terbabit.
Sementara itu, Ketua Kampung Batu 5 dan Batu 6 Tambun, Zubir Ismail berkata, masalah banjir kilat telah berlarutan sekian lama dan rumah di sepanjang jalan tersebut antara yang paling terkesan.
"Kami amat berterima kasih kepada Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Tambun, yang mengusulkan masalah tersebut kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan membantu dalam menyelesaikannya," jelasnya.
Beliau turut berharap jalan tersebut dilebarkan kerana sering digunakan penduduk di sekitar Taman Perpaduan Koperasi, Taman Malar terutamanya pada waktu puncak.
Terdahulu, Mazlan meninjau perkembangan terkini kerja menaik taraf longkang tersebut di sini.
