IPOH - Sebanyak RM101,800 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan hasil penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak.
Tindakan tersebut diambil sepanjang tahun ini iaitu bermula Januari hingga 11 Ogos lalu.
KPDNHEP negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, ia membabitkan sebanyak 686 kes daripada 771 aduan yang diterima.
Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 56,390 premis telah diperiksa.
"Penguat kuasa KPDNHEP telah membuat 29,841 pemeriksaan dan mengenakan 58 kompaun berjumlah RM177,000 kerana melanggar pematuhan dibawah Akta 342.
"Pemeriksaan ini masih diteruskan termasuk menjalankan operasi bersepadu dengan lain-lain agensi," kata kenyataan itu.
Dalam perkembangan lain, KPDNHEP juga melaksanakan pemantauan harga siling minyak masak sawit tulen yang dijual mengikut subsidi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.
Bermula 1 Ogos, had harga runcit maksimum bagi produk minyak masak sawit tulen dalam botol dengan kuantiti lima kilogram (kg) paling tinggi ialah RM29.70.
Bagi produk botol satu kg ditetapkan RM6.70, manakala dua kg RM12.70 dan tiga kg pula ialah RM18.70.
"Bagi minyak masak dalam pek kecil 1 kilogram pula, harganya masih kekal iaitu RM2.50 mengikut harga subsidi.
"Selain daripada minyak masak sawit tulen, lain-lain minyak masak tidak termasuk di dalam program harga kawalan yang telah dinyatakan," ujar kenyataan itu.
Justeru, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.