IPOH - Walaupun dia sendiri menghidap pelbagai penyakit, seorang wanita tetap menguatkan diri untuk menjaga dan menguruskan ibunya yang terlantar akibat sakit tua sejak beberapa tahun lalu. 

Robiatun Md Zain, 63, yang tinggal bersama keluarga anak perempuannya di Desa Lang Indah di sini memikul tanggungjawab menjaga ibunya, Fatimah Man, 83, selepas dua adik beradiknya meninggal dunia. 
 
Menurutnya, dia sendiri menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi dan perlu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Greentown Ipoh pada setiap bulan. 
 
"Mak saya terlantar akibat sakit tua dan pergerakannya amat terbatas, jadi saya membantu apa yang termampu," katanya ketika ditemu bual Peraktastic hari ini. 
 
Katanya, pendapatan anak perempuan dan menantu juga sedikit terjejas sejak pandemik Covid-19 melanda negara. 
 
Berikutan itu, dia memohon jika ada pihak yang sudi untuk menghulurkan bantuan supaya dapat membeli susu serta lampin pakai buang untuk ibunya. 
 
"Saya juga berharap agar urusan suntikan vaksin untuk ibu dipercepatkan memandangkan ibu tidak dapat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atas sebab uzur," katanya yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin pada bulan lalu. 
 
Nasib warga emas tersebut mendapat perhatian Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 9 (Kepayang), Norul Huda Ahmad Nator yang meluangkan masa melawat keluarga berkenaan. 
 
"Hari ini saya berkesempatan melawat keluarga ini dan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kering, lampin pakai buang dan wang tunai bagi meringankan beban mereka. 
 
"Bantuan ini adalah secara one off melalui program MBI Prihatin dan jika ada sumber lain, kita akan terus menghulurkan bantuan kepada warga emas terbabit," ujarnya. 
 
Beliau berkata, walaupun kawasan Gunung Lang mempunyai kediaman yang cantik namun tidak semestinya di dalamnya indah kerana ramai yang terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
 
"Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud yang menyediakan peruntukan melalui MBI untuk membantu golongan yang memerlukan ini," katanya. 
 
Berhubung permintaan Robiatun agar ibunya divaksinkan, Norul Huda berkata, pihaknya akan cuba membantu untuk menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat.