
IPOH - Hentian bas awam uzur serta rosak akibat panas dan hujan berhampiran Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Ulu Kinta bakal berwajah baharu selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil inisiatif membaik pulih semula hentian tersebut.
Selain menjadi tempat menunggu bas, hentian itu turut dijadikan tempat berteduh serta menunggu kenderaan lain bagi penghuni di kem tersebut, Rancangan Perumahan Awam (RPA) Kampung Melayu dan penduduk berhampiran.
Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, bertindak atas aduan Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA Ulu Kinta, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad berhubung kerosakan hentian bas awam itu, beliau terus memanjangkan perkara tersebut kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.
Katanya, hentian bas awam itu perlu dibaik pulih segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk setempat.
"Alhamdulillah dan terima kasih kepada Datuk Bandar yang segera mengambil tindakan dengan memberikan peruntukan bagi membaik pulih hentian bas ini.
"Kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja membaik pulih telah memulakannya hari ini dan ia dijangka siap dalam tempoh antara seminggu ke dua minggu akan datang," katanya yang memaklumkan kos untuk pembinaan hentian itu bernilai antara RM9,000 ke RM10,000.
Beliau berkata demikian selepas melawat hentian bas awam itu di sini, pada Sabtu.
