BATU GAJAH - Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Malim Nawar, Jalan Tanjung Tualang dekat sini pagi tadi.
Difahamkan keadaan air deras dengan kedalaman sungai itu kira-kira tiga meter.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.22 pagi.
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah digerakkan sebelum tiba di lokasi kejadian 18 minit kemudian.
"Mengikut saksi kejadian, mangsa berusia 89 tahun telah terjatuh ke dalam sungai lalu gerakan dilakukan secara pencarian pada permukaan air.
"Kita menggunakan sebuah bot bagi melakukan pencarian dari hilir sungai sejauh 1.5 kilometer (km)," ujar jurucakap tersebut.
Operasi diketuai PPgB Mohd. Norshah Shahri.
Bagaimanapun, kawasan pencarian diperluaskan sejauh 4.5km dari lokasi mangsa dipercayai jatuh dengan bantuan bot dan anggota BBP Kampar.
Operasi turut dibantu 36 anggota pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta anggota sukarelawan bomba Tanjung Tualang dan Kampung Timah.
Sehingga pukul 6.30 petang tadi mangsa belum ditemui manakala gerakan mencari dihenti dan akan disambung pagi esok.