IPOH - "Saya terkejut apabila anak saya antara yang terpilih untuk menjadi penerima peranti pada hari ini," ujar Rahimi Ismail, 40, dari Kampung Sri Kinta.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata, sebelum ini dia pernah cuba memohon pelbagai bantuan bagi mereka sekeluarga memandangkan pendapatannya sebagai tukang cat terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) anak-anak saya," katanya ketika ditemui pada program penyerahan bantuan alat peranti untuk keluarga B40 dan ibu tunggal sumbangan Persatuan Pengusaha Komputer dan Peralatan Digital (PCDA) Ipoh Perak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Dewan Rukun Tetangga Pasir Pinji, di sini.
Pada program itu, sebanyak 32 peranti melibatkan komputer, telefon pintar dan tablet turut diagihkan kepada Ahli Majlis MBI di beberapa zon sekitar bandar raya ini untuk disampaikan kepada penerima yang layak.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud mengucapkan tahniah kepada Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji) Dr Richard Ng yang berjaya menganjurkan program di bawah MBI Prihatin ini serta mendapatkan sumbangan 30 peranti daripada PCDA.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu pelajar yang berdepan masalah peranti agar dapat mengikuti aktiviti PdPR secara dalam talian atau maya dengan lebih selesa terutamanya keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah.
Sementara itu, Presiden PCDA Ipoh Perak, Loh Wai Hoong berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan MBI pada masa hadapan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Katanya, sumbangan pada hari ini bernilai kira-kira RM20,000 melibatkan 10 komputer diperbaharui (refurbished) dan 20 telefon pintar.
Terdahulu, Rumaizi meluangkan masa memasang Jalur Gemilang sebagai simbolik sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-64 pada tahun ini dan melakukan gimik pelancaran Pertanian Bandar di kawasan dewan berkenaan.
Hadir sama, Ahli Majlis MBI Zon 8 (Kepayang) Mohammad Iskandar Abdul Rahman; MBI Zon 16 (Tebing Tinggi) Datuk Ahmad Hariri Kamaruddin; Ahli Majlis MBI Zon 17 (Tebing Tinggi) Nor Afzainizam Salleh; Ahli Majlis MBI Zon 2 (Hulu Kinta) Puteri Holijah Muhamad Rali dan Ahli Majlis MBI Zon 3 (Manjoi) Mohammad Sharif.