IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) komited dalam membantu pelajar tidak berkemampuan di bandar raya ini dengan menyediakan peranti dan data internet bagi menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, setakat ini MBI telah menyumbangkan 51 peranti di bawah program MBI Prihatin sepanjang tempoh pandemik Covid-19 kepada pelajar yang benar-benar memerlukan di sekitar bandar raya Ipoh.
"Hari ini kita berkesempatan mengunjungi dua keluarga di Tanjung Rambutan untuk menyampaikan sumbangan tablet berserta data internet secara percuma bagi tempoh tiga bulan.
"Tablet ini diberikan kepada pelajar untuk digunakan pada sesi PdPR memandangkan mereka tidak boleh ke sekolah secara fizikal kesan daripada pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui Peraktastic di salah sebuah rumah penerima tablet di Taman Berjaya, Tanjung Rambutan hari ini.
Selain sumbangan tablet, Rumaizi turut menyampaikan bantuan kotak makanan kepada kedua-dua keluarga berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Bandar yang amat prihatin dalam memastikan pendidikan anak-anak daripada golongan kurang berkemampuan ini tidak terabai.
"Kebanyakkan penduduk di bandar raya ini mengalami miskin mengejut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Menyedari perkara itu, MBI tampil membantu dari segi pemberian peranti, data internet dan kotak makanan yang dianggarkan kira-kira RM800,000 bagi meringankan beban golongan terjejas sejak wabak ini melanda negara.
"Justeru, kita amat mengalu-alukan kerjasama daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan tiada yang terpinggir akibat pandemik ini," jelasnya yang memaklumkan ada dalam kalangan NGO dan syarikat yang bersama-sama membantu MBI dalam menghulurkan sumbangan bagi warga kota yang memerlukan.
Sementara itu, seorang penerima, K Devanagendra, 13, dari Kampung Cheh, Tanjung Rambutan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh menggunakan tablet tersebut.
"Terima kasih kepada Datuk Bandar dan Ahli Majlis MBI yang sudi menyumbangkan tablet serta data internet bagi membolehkan kami adik beradik mengikuti kelas PdPR dengan lebih selesa," kata pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta itu.
Hadir sama, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Rambutan, Ayob Zenal.