IPOH – “Jika perlukan bantuan, sila suarakan,” ujar Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 11(Bercham), Ho Wai Mun kepada penduduk di sekitar kawasan Bercham yang memerlukan sebarang bantuan berikutan pandemik Covid-19 ini.

Beliau berkata, rakyat berhadapan dengan kesukaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung dan pihaknya akan cuba membantu mengikut kemampuan.

“Hari ini, kita mengagihkan 200 kotak makanan sumbangan Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad kepada penduduk di Taman Pakatan dan Taman Bercham Aman tanpa mengira kaum dan latar belakang mereka.

“Sebelum ini, Pasukan Outreach Vaksin mengedarkan makanan percuma, pelitup muka dan membantu penjaja serta peniaga kecil di Pasar Awam Bercham untuk memohon Bantuan One Off Covid-19 oleh MBI,” katanya.

Program pengagihan bakul makanan itu turut dibantu Ketua Kampung Bercham, Raymond Choo; Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 11 (Bercham), Cheng Ming Tat dan Ahli Jawatankuasa JPP Zon 11 (Bercham).

“Sehubungan itu, kita berharap bantuan yang diberikan itu dapat meringankan sedikit bebanan penduduk setempat untuk menghadapi masa yang begitu mencabar dan sukar ini,” jelasnya.