PUTRAJAYA – Mereka yang mempunyai saman tertunggak boleh menarik nafas lega apabila Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) bersetuju memberikan tawaran pengurangan.

Diskaun saman sehingga 70 peratus ini bermula esok hingga 16 September depan.

Bagaimanapun, kes yang masih dalam sebutan mahkamah termasuk berstatus waran tangkap atau perbicaraan tidak boleh diberikan.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, pengurangan kompaun itu akan diberikan kepada semua notis saman yang dikeluarkan.

"Antaranya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

“Pengurangan ke atas notis saman tersebut adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ,” kata kenyataan itu.

Tawaran itu turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh diskaun sehingga 16 September depan.

Urusan pembayaran notis saman ini boleh dibuat di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, kiosk atau secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ.