IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukkan lebih RM10 juta bagi memberi tumpuan menaik taraf infrastruktur di sekitar bandar raya pada tahun ini. 
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata beliau akan turun padang setiap dua minggu bagi memastikan pelaksanaan kerja-kerja terbabit dijalankan dengan baik. 
 
"Kita nak tengok pelaksanaan betul-betul berkualiti (hasil kerja naik taraf) dan tidak mahu jalan dah siap (contoh), selepas tiga bulan rosak semula. 
 
"Sebab itu kita turun padang. Kita tidak mahu orang kata merugikan duit rakyat. Setiap sen yang dibelanjakan kita akan pastikan ia dilaksanakan dengan baik dan berkualiti," ujarnya. 
 
Beliau turut memberi jaminan bahawa setiap projek yang dilaksanakan MBI berkualiti bagi jangka masa panjang demi keselesaan penduduk di bandar raya ini. 
 
Dalam perkembangan sama, Rumaizi berkata, pelaksanaan untuk membaik pulih jalan dan longkang perlu dilakukan segera bagi mengelakkan masalah banjir kilat berlaku terutamanya pada hujung tahun. 
 
"Pelaksanaan jalan dan longkang perlu dilakukan sekarang, takut hujung tahun hujan. Ini (Hujan) akan merencatkan kerja dan menyebabkan banjir kilat jadi kita cuba tangani dengan segera.
 
"Selain itu, MBI juga akan memastikan kerja membaik pulih dan naik taraf sistem saliran di bandar raya ini diselaraskan dengan cepat serta berkualiti bagi menangani risiko tanah runtuh dan banjir kilat," jelasnya. 
 
Beliau juga memberi jaminan bahawa MBI akan memberi maklum balas kurang tempoh 24 jam jika menerima aduan sama ada daripada orang awam atau Ahli Majlis berhubung pokok tumbang terutamanya sewaktu musim hujan lebat. 
 
Terdahulu, Rumaizi meninjau perkembangan projek pembangunan MBI membabitkan longkang, jalan dan bangunan di sekitar bandar raya Ipoh. 
 
Antara kawasan yang dikunjungi termasuklah Kampung Kuchai, Jalan Bendahara, Taman Lapangan SSI dan Buntong. 
 
Hadir sama, Pengarah Kejuruteraan MBI, A'zman Mohd Harun; Pengarah Perancang Bandaraya MBI, Mohd Zainal Abdul Hamid dan Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Kerja dan Operasi MBI, Arif Mohd Zainudin.