TAIPING - Seramai 102 mangsa daripada 29 keluarga dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Taiping malam tadi.

Pemindahan dilakukan berikutan sebahagian daripada rumah penduduk di lima buah kampung dinaiki air selepas hujan lebat sejak tengah malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, kesemua mangsa berpindah setelah diminta oleh pihak bomba sebagai langkah keselamatan.

Menurutnya, PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim al-Baraqah menempatkan 87 penduduk Kampung Sungai Rentaka, Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong Kiri.

"Kira-kira 15 penduduk pula berpindah ke PPS Dewan Orang Ramai Sungai Baru iaitu dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi.

"Sehingga kini kita masih memantau keadaan walaupun hujan telah berhenti kerana ada kawasan masih digenangi air," ujar jurucakap tersebut.