IPOH - Seramai 1,292 graduan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bakal bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Ke-13 USAS yang dijalankan secara maya pada Sabtu ini.

Majlis konvokesyen yang tertangguh sejak lapan bulan lalu ekoran pandemik Covid-19.

Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS Dr. Anas Md Yusof, berkata, majlis akan berlangsung secara norma baharu melalui platform Zoom, Facebook rasmi USAS dan saluran Youtube mulai pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Konvokesyen USAS Ke-13 memberitahu, seramai 757 graduan yang terlibat adalah lulusan Fakulti Pengajian Islam dan 536 orang daripada Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat.

"Perisytiharan penganugerahan akan dibuat oleh Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi merangkumi dua penerima ijazah Doktor Falsafah, Sarjana (59), Sarjana Muda (288) dan Diploma (943).

"Istiadat konvokesyen kali ini juga akan menyaksikan pemasyhuran Tan Sri Dr. Wan Zahid Mohd Noordin sebagai seorang lagi Pro Canselor USAS" katanya dalam satu kenyataan.

Pada majlis kali ini, Anugerah Tuanku Canselor diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling (kepujian) Muhammad Shukri Mohd Khalil manakala Anugerah Menteri Besar Perak diterima Muhammad Firdaus Abu Mansor juga daripada fakulti sama.

Manakala Anugerah Naib Canselor USAS disampaikan kepada Mohamad Isman Zakaria (Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadis).

Jelas Anas, konvokesyen itu sendiri akan diisytiharkan oleh Pro Canselor universiti itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B), Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi Zainuddin.

Katanya, majlis istiadat konvokesyen ini yang dijadualkan pada Disember tahun lalu telah ditangguhkan berikutan ketidaktentuan situasi penularan wabak Covid-19.

"Sehubungan itu, USAS telah mengambil inisiatif memohon perkenan ke bawah Duli Tuanku Canselor, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, untuk membuat perisytiharan penganugerahan kepada graduan yang layak bergraduasi.

"Ini bagi memastikan sijil dan transkrip rasmi dapat dikeluarkan segera.

“Ini kerana pihak USAS mengambil kira keperluan para graduan terhadap sijil dan transkrip rasmi untuk urusan memohon pekerjaan, menyambung pengajian, pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) dan lain-lain berkaitan pengajian,” ujarnya.