IPOH - Seramai 110 penghantar makanan GrabFood di sekitar Ipoh menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, hari ini. 
 
Program Vaksinasi Rider ini adalah kerjasama kali kedua antara PPV Klinik Briged Utara dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selepas melaksanakan program sama bagi penghantar makanan Foodpanda pada Isnin lalu. 
 
Penyelaras Program Vaksinasi Covid-19 rider GrabFood Ipoh, Mohd Azad Mohd Hussain, 52, berkata penghantar makanan terdedah kepada bahaya disebabkan mereka perlu berhadapan dengan pelanggan setiap hari. 
 
"Kita menghantar permohonan sejak empat hari lalu dan Alhamdulillah hari ini seramai 110 orang menerima suntikan vaksin dos pertama. 
 
"Di Ipoh, terdapat hampir 1,000 penghantar makanan GrabFood dan majoriti masih belum menerima suntikan vaksin. 
 
"Justeru kita berharap, program ini dapat diteruskan bukan sahaja dalam kalangan penghantar makanan GrabFood tetapi kepada mereka yang terbabit dalam perkhidmatan e-hailing," ujar pesara tentera itu. 
 
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman dan Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis di atas keprihatinan mereka terhadap penghantar makanan GrabFood ini. 
 
 
Dalam perkembangan sama, Mohd Noh berkata setakat ini PPV Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta telah berjaya memberi suntikan vaksin kepada 4,500 orang bagi dos pertama dan 2,500 orang yang lengkap dos kedua vaksinasi.
 
"Kita akan terus memberikan suntikan vaksin kepada orang awam terutamanya yang berisiko tinggi seperti orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang diterima daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 
 
"Selepas ini, kita akan perluaskan pemberian suntikan vaksin di masjid pula," ujarnya. 
 
Sementara itu, Mazlan mengucapkan terima kasih terutamanya kepada PPV Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta kerana mengambil inisiatif untuk memberikan suntikan vaksin kepada penghantar makanan yang boleh dianggap sebagai 'frontliner' kepada orang ramai.
 
"Hari ini, penghantar makanan terbabit turut dapat mengisi minyak petrol secara percuma bagi motosikal mereka.
 
"Selain itu, kita juga membekalkan Vitamin C kepada 30 orang petugas berhadapan di PPV Klinik Briged Utara sebagai penambahan imuniti serta menampung kekuatan badan," jelasnya. 
 
 
Salah seorang daripada penghantar makanan GrabFood wanita, Bong Lee Lin, 21, berkata kini dia lebih yakin dan tidak lagi merasa was-was untuk berhadapan dengan pelanggan. 
 
"Saya sudah mendaftar di MySejahtera sejak Mac namun masih belum mendapat panggilan. Jadi, apabila GrabFood menawarkan saya untuk sertai program ini, saya segera menerimanya. 
 
"Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Sekurang-kurangnya, pemberian suntikan vaksin ini dapat membantu mengurangkan risiko penghantar makanan dijangkiti Covid-19," kata gadis yang berasal dari Kuching, Sarawak itu. 
 
Terdahulu, kumpulan 'rider' GrabFood ini berkonvoi dari Masjid An-Nur Batu 8 menuju ke Kem PGA Ulu Kinta dan sejurus selesai mereka bergerak ke stesen minyak Caltex untuk mengisi petrol secara percuma di motosikal masing-masing.