LUMUT - Perjalanan pulang tiga pekerja dari Kawasan Perindustrian Lumut Port, Kampung Acheh di sini berakhir tragedi apabila mereka maut dirempuh sebuah kereta petang tadi.
 
Kejadian di Jalan Sitiawan- Pantai Remis dekat Kampung Sitiawan itu dipercayai melibatkan empat motosikal dan sebuah kereta Proton Preve.
 
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.28 petang.
 
Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian diketuai PBK II Khairul Azizi Kamaruddin.
 
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Preve yang datang dari arah bertentangan itu merempuh penunggang motosikal tersebut.
 
“Kereta itu dipercayai dinaiki tiga individu dan mereka mengalami cedera ringan," kata jurucakap tersebut.
 
Anggota bomba kemudian bertindak mengalihkan mangsa-mangsa menggunakan pengusung dan pemeriksaan petugas perubatan mengesahkan tiga mangsa meninggal dunia.
 
Mayat mangsa-mangsa kemudian diserahkan kepada  polis untuk tindakan lanjut. 
 
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.21 petang.