IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa mengalu-alukan semua pihak untuk tampil bekerjasama dalam membantu rakyat yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika penularan pandemik Covid-19 ini. 
 
Berikutan itu, Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Food Aid Foundation menyampaikan sumbangan barangan dapur kepada 110 penduduk berpendapatan rendah (B40) di Flat Tambun Baru, hari ini. 
 
"Kita simpati terhadap nasib penduduk khususnya yang tinggal di pangsapuri kos rendah (flat) dan projek perumahan rakyat (PPR). Mereka ini golongan B40 yang memerlukan bantuan
 
“Rata-rata penduduk amat terkesan dan melihat riak wajah, mereka sangat menghargai sumbangan ini,” katanya kepada Peraktastic pada Rabu. 
 
Hadir sama, Pengerusi Masyarakat Cina Kampung Lata, James Cheang Chi Wah.
 
Mazlan berkata, pemberian sumbangan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu rakyat terkesan akibat Covid-19. 
 
“Kita akan sentiasa bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada mereka yang memerlukan terutamanya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan," jelasnya.