IPOH - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta mempunyai kemampuan untuk memberi vaksin Covid-19 sehingga 1,400 dos seminggu kepada orang ramai terutamanya penduduk di sekitar daerah Kinta.
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, beliau akan terus membantu rakyat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta bagi mendapatkan vaksinasi supaya imuniti kelompok dapat dicapai dengan kadar segera.
 
Menurutnya, kerjasama yang diberikan PPV Klinik Briged Utara PGA amat efisien dan proses pemberian vaksinasi dilihat berjalan lancar. 
 
"Hari ini seramai 200 penduduk di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Ulu Kinta dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tanjung Damai menerima suntikan vaksin dos pertama. 
 
"Kebanyakkannya sudah mendaftar melalui MySejahtera namun masih belum mendapat panggilan. Justeru, inisiatif yang dilaksanakan PPV Klinik Briged Utara PGA ini amat membantu dalam mempercepatkan proses pemberian vaksin," katanya ketika ditemui Peraktastic pada Rabu. 
 
Hadir sama, Pegawai Kebajikan Briged PGA merangkap Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad. 
 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Kampung Melayu Batu 8, Mohd Zainudin Abdullah yang mewakili penduduk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pemberian vaksin pada hari ini. 
 
"Datuk Mazlan adalah Ahli Majlis yang amat prihatin akan masalah yang dihadapi penduduk setempat. Beliau bukan sahaja membantu dalam mempercepatkan pemberian vaksin malah sentiasa turun padang jika berlaku bencana seperti banjir dan pokok tumbang," ujarnya.
 
Sementara itu, penduduk RPT Tanjung Damai, Muhammad Saleh Kamarudin, 25, berkata dia adalah orang terakhir dalam keluarga yang menerima suntikan vaksin. 
 
Dia yang mendaftar di MySejahtera sejak Mei lalu sehingga kini belum mendapat sebarang maklum balas. 
 
"Saya bersyukur kerana telah mendapat dos pertama pada hari ini dan sekurang-kurangnya, saya tidak lagi bimbang untuk keluar bekerja. 
 
"Walaupun sudah menerima vaksin, segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi supaya penularan pandemik Covid-19 dapat berakhir dengan segera," jelasnya.