IPOH- Imej baharu Perpustakaan Tun Razak (PTR) yang menampilkan lukisan mural tiga dimensi (3D) bakal menjadi tarikan baru Bandaraya Ipoh.

Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Munir Ishak berkata lukisan mural yang dihasilkan bukan sahaja mengindahkan sesuatu bangunan itu malah mampu menyampaikan mesej dan indentiti tersendiri.

Lukisan mural yang berkonsepkan ‘smart city’ dan digital ini dihasilkan oleh pelukis-pelukis tempatan dalam masa tiga minggu. Ia mengetengahkan fungsi perpustakaan itu sendiri sebagai pusat gedung ilmu.

Selain dari usaha mempromosikan PTR ini, ia juga selaras dengan trend masa kini yang membolehkan pengunjung dan pelancong berswafoto untuk dikongsikan ke media sosial

Seperti sedia maklum, sekarang perpustakaan masih belum lagi dibuka kepada umum. Namun projek ini merupakan persediaan untuk melangkah ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara,” katanya kepada dalam sidang media, semalam.

Hadir sama Penolong Pegawai Takbir PTR, Rohayu Mohd Tahir.

Sementara itu, Nur Sirajuddin Sharifuddin, 34, artis mural yang terlibat dalam projek itu berkata konsep seni yang dipaparkan adalah berdasarkan fungsi perpustakaan dan juga mengintegrasikan konsep bandar pintar.

"Melalui karya ini kami cuba merialisasikan PTR sebagai perpustakaan digital seperti yang dirancang. Selain buku-buku sebagai bahan utama, kami juga melukis peranti eletronik selaras dengan perkembangan teknologi terkini.

"Kami menggunakan cat semburan yang diimport dari Sepanyol kerana ia mempunyai daya tahan yang lebih tinggi dan warnanya boleh bertahan lebih dari tujuh tahun.

"Ini adalah kali pertama kami berkolaborasi dengan MBI. Terima kasih di atas kepercayaan yang diberi. Semoga ia menjadi salah satu tarikan pelancongan selain dari mural-mural yang sedia ada,” katanya.