IPOH - Seramai 49 Pengerusi Jawatan Perwakilan Penduduk (JPP) di 24 Zon Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima surat pelantikan daripada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud di Bilik Gerakan MBI, hari ini. 
 
Majlis serba ringkas serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) itu turut dihadiri Ketua Whip Ahli Majlis MBI iaitu Datuk Mazlan Abd Rahman; Mahader Ahmad Mohammad Ayob dan Abu Bakar Hussian serta Pengarah Komuniti Bandaraya, Normala Latiff. 
 
 
Rata-rata Pengerusi JPP yang ditemui pada hari ini bersemangat untuk menggalas tanggungjawab mereka supaya dapat membantu merealisasikan hasrat MBI menjadikan Ipoh sebagai bandar raya Bersih, Hijau dan Maju.
 
Pengerusi JPP Zon 6 (Buntong) M Ramachandran berkata, akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin. 
 
"Saya akan membantu Ahli Majlis MBI dalam menyelesaikan isu-isu di Zon 6 antaranya termasuklah masalah longgokan sampah sarap dan longkang," katanya ketika ditemui Peraktastic pada Jumaat. 
 
 
Dalam perkembangan sama, Pengerusi JPP Zon 23 (Simpang Pulai) Mohd Rais Ramli pula berkata, akan berusaha mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat melalui penyertaan aktif komuniti dan kemasyarakatan. 
 
"Selain itu, saya akan membantu MBI dan Ahli Majlis untuk mengenal pasti isu-isu berbangkit bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. 
 
"Di Zon 23, kita akan cuba menyelesaikan masalah berkaitan kebersihan dan isu pembiakan nyamuk supaya penduduk setempat dapat hidup dalam keadaan selesa," ujarnya. 
 
Sementara itu, Pengerusi JPP Zon 14 (Pasir Pinji) Lim Hong Lian berkata akan bergiat aktif melaksanakan program turun padang dan aktiviti di peringkat zon bersama Ahli Majlis. 
 
"Saya akan memberi kerjasama baik kepada Ahli Majlis untuk menjalankan aktiviti seperti membantu orang susah dan aktiviti menghijaukan bumi dengan menanam pokok selaras dengan hasrat MBI untuk menjadi bandar raya bebas karbon menjelang 2023," jelasnya.