IPOH - MCA Bahagian Ipoh Timur mengambil inisiatif menghantar Crisis Relief Squad of MCA (CRSM) untuk menjalankan kerja disinfeksi di Pasar Besar Ipoh hari ini. 
 
Pengerusinya, Tony Khoo Boon Chuan berkata proses disinfeksi ini dilakukan di bahagian pasar meliputi tempat penjualan ikan, daging dan sayur. 
 
Menurutnya, proses disinfeksi ini mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. 
 
"Kita turut menyediakan segala kelengkapan secara menyeluruh kepada lapan anggota CSRM untuk menjalankan kerja-kerja tersebut. 
 
"Antara kelengkapan yang disediakan termasuklah pakaian perlindungan diri (PPE), tangki semburan, mesin semburan dan cecair disinfeksi," katanya yang juga merangkap Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 15 (Pasir Pinji). 
 
Sehubungan itu, beliau berharap proses disinfeksi yang dijalankan ini dapat membantu dalam memutuskan rantaian Covid-19 di sekitar kawasan terbabit.