IPOH – Program khusus memerangi dengi menerusi 'communication for behavioural impact' (COMBI) menunjukkan kejayaan apabila dapat meningkatkan kesedaran pencegahan dalam kalangan komuniti sasaran.

Sehingga Julai, sebanyak terdapat 224 pasukan COMBI yang melibatkan penyertaan 2,011 sukarelawan di seluruh Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains dan Alam Sekitar negeri, Mohd. Akmal Kamarudin bagaimanapun berkata, bagaimana pun penyertaan lebih ramai sukarelawan COMBI di sesebuah lokaliti diperlukan bagi menggerakkan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

"Keberkesanan COMBI masih perlu ditambahbaik. Peranan ini juga perlu dimaikan oleh masyarakat setempat.

"Keberkesanan sesebuah COMBI akan dapat ditingkatkan dengan kerjasama dan penglibatan masyarakat. Lokaliti yang mempunyai COMBI dillihat mampu mengekalkan status tiada wabak dan sekiranya berlaku wabak, tidak menjadi kawasan titik panas," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Mohd. Akmal berkata, selain pencegahan dan kawalan denggi, kini komuniti COMBI turut dilibatkan dengan aktiviti mencegah penularan Covid-19 dan program vaksinasi di kawasan masing-masing.

“Bagaimana pun, mereka belum digerakkan secara aktif memandangkan peningkatan kes di Perak kerana kita bimbang risiko jangkitan," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui kerjasama kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah produktif dalam menghapuskan pembiakan nyamuk aedes.

"Ini termasuk aktiviti semburan kabus dan aktiviti larvaciding untuk mencegah dan membunuh jentik-jentik selain aktiviti gotong-royong melibatkan komuniti,” ujarnya.